Tuesday, May 17, 2011

Fergie The Special One sebenar - Mourinho

Berikut adalah petikan yang saya copy & paste daripada Utusan Malaysia, 16/05/2011.

Jika benar kenyataan ini dikeluarkan sendiri oleh Mourinho, maka inilah pertama kalinya dia bersifat rendah diri kerana sebelum ini dia memang terkenal dengan sikap "masuk bakul, sendiri angkat", maklumlah dia adalah jurulatih berkelas dunia.

Apakah faktor utama yang menentukan kejayaan sesuatu pasukan sehingga ke puncak? Pelik, ketika di Porto dulu dia berjaya mendapatkan kedua-dua piala keagungan Eropah hanya dengan barisan pemain yang kurang dikenali, tetapi dia tidak melakukannya ketika bersama Real Madrid dimana rata-rata pemainnya dibarisi oleh bintang terkemuka.

MADRID - Jose Mourinho membuka mata dunia bola sepak apabila menggelarkan dirinya sebagai The Special One (Yang Teristimewa) sejurus dilantik sebagai pengurus Chelsea pada Jun 2004.

Namun, seorang individu yang berkeyakinan tinggi seperti Mourinho terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya tidaklah begitu istimewa seperti pengurus Manchester United, Alex Ferguson.

Ferguson menambah koleksi trofi ke-47 sepanjang karier pengurusannya selepas United mengesahkan rekod kejuaraan Liga Perdana kali ke-19, kelmarin.

Dan Mourinho tidak ada keraguan bahawa sahabatnya, Fergie juga ialah The Special One. "Dia merupakan sumber inspirasi bagi saya. Saya selalu menyebut dia ialah salah satu alasan kenapa saya datang ke England dan menguruskan Chelsea.

"Semangatnya dalam bola sepak dia sentiasa menjadi ikutan. Setiap pengurus mahu mencontohinya. Apabila anda fikir tentang Sir Alex Ferguson, dua perkara terlintas dalam minda, keunikan dan kejayaan yang diciptanya," kata pengurus Real Madrid itu.

Mourinho menyifatkan kejayaan United menjulang gelaran Liga Perdana ke-12 di bawah bimbingan Ferguson sebagai pencapaian menakjubkan. "Dia menunjukkan betapa tinggi keinginannya untuk melakar kejayaan. Semakin banyak trofi dimenanginya, semakin besar seleranya. Dia hidup untuk menang," tambahnya.

Mourinho disebut-sebut sebagai calon berpotensi menggantikan Fergie apabila dia meninggalkan Old Trafford kelak.

Pengurus berusia 69 tahun itu bagaimanapun mengesahkan dia tidak berniat untuk bersara buat masa ini biarpun telah berkhidmat selama 25 tahun. Mourinho mengakui adalah sukar untuk mana-mana pengurus mengikuti jejak Ferguson.


"Sungguh menakjubkan dia menetap di sebuah kelab untuk tempoh begitu panjang. Untuk menang sebanyak mana yang dimenanginya tidak mampu diulangi.
 "Dia langsung tidak menunjukkan sebarang tanda menghampiri persaraan pada peringkat ini. Saya fikir dia hidup untuk bola sepak. Saya tidak pasti apa yang dia akan lakukan tanpanya," ujar pengurus dari Portugal itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment