Monday, May 16, 2011

Manchester United juarai EPL edisi 2010/2011

Semalam adalah hari yang bermakna buat peminat Man United dan mungkin juga bagi penduduk kampung Greater Manchester keseluruhannya kerana dua piala rebutan pasukan bolasepak di seluruh England kini akan bersemadi untuk setahun akan datang di sana. Ini berikutan kejayaan dua pasukan tetangga, Manchester United merangkul kejuaraan EPL edisi 2010/11 buat kali ke-19 seterusnya meleburkan rekod 18 kali kemenangan Liverpool, pada malam yang sama juga di Wembley Stadium, Manchester City juga berjaya membawa pulang Piala FA berikutan kejayaan menewaskan Stoke City di perlawanan akhir dengan jaringan 1-0.

Dari baki dua perlawanan liga, Manchester United hanya memerlukan satu keputusan seri untuk mengesahkan kejuaraan dan tanpa berlengah mereka berjaya mengikat Blackburn dengan jaringan 1-1 untuk memperolehi satu mata penting tersebut. Jaringan tersebut dilakukan oleh Wayne Rooney dengan sepakan penalti setelah pengadil Phil Dowd memberikan foul kepada penjaga gol Blackburn, Paul Robinson yang mengasari Javier Hernandez.

Bayangan kejuaraan ini sudah menjelma pada perlawanan Manchester United hujung minggu lalu selepas mereka berjaya menewaskan pencabar utama mereka Chelsea dengan 2-1. Man United kini sudah boleh fokus kepada perlawanan penting pada 28 Mei ini untuk menentang Barcelona di dalam perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah 2010/11.

Sementara itu kejayaan Manchester City menewaskan Stoke City amat bermakna buat penyokong-penyokong mereka kerana ini adalah kali pertama didalam 35 tahun mereka berjaya membawa pulang piala ke sana. Roberto Mancini amat berpuas hati dengan pencapaian Manchester City pada tahun ini dan melaungkan amaran yang mereka akan berusaha untuk membawa piala liga EPL pula pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment