Tuesday, August 3, 2010

Sneijder dedah prospek Mourinho

Dari Petikan Harian Metro 2/8/10

Pemain Inter Milan, Wesley Sneijder percaya bekas pengurusnya Jose Mourinho ‘The Special One’ ditakdirkan menjadi pengurus Manchester United dan England.


Pemain tengah Belanda itu percaya Real Madrid adalah satu persinggahan kepada pengurus dari Portugis itu sebelum berakhir di Old Trafford sebagai pengganti Sir Alex Ferguson.

Dia turut yakin Persatuan Bola Sepak (FA) akan menimbangkan Mourinho untuk menjadi jurulatih England di samping tugas sebagai pengurus Red Devils.

Sneijder yang mengenali Mourinho semasa di kelab juara Liga Juara-juara Eropah itu berkata: “Bola sepak England menarik perhatiannya lebih daripada yang lain dan saya tidak sangsi beliau kembali ke Liga Perdana.

“Saya fikir ia telah tertulis untuknya mengendalikan United beberapa tahun lagi. Seorang pengurus yang hebat akan bersara dan seorang yang setaraf akan mengambil alih.

“Namun jika diberikan tawaran bersama United pada masa akan datang, saya pasti beliau mengambilnya. Beliau menyukai interaksi bersama pemain dan mungkin sukar menerima tawaran sebagai jurulatih England saja, “Mourinho dan saya menjadi kawan baik di Inter dan melalui perbualan kami, saya tahu beliau fikir boleh melakukan sesuatu dengan pemain-pemain England.

“Apabila beliau mengambil alih tugas di United, FA England perlu memberi tawaran peringkat kebangsaan juga, dan melalui perbualan sebelum ini saya pasti beliau akan menerimanya.” Sneijder menyedari kepimpinan tertinggi FA pasti risau jawatan jurulatih England dianggap kerja separuh masa namun menegaskan, Mourinho calon terbaik untuk tugas itu.

“Kita bercakap mengenai jurulatih terbaik dunia, dan ia perlu dilakukan sebelum mencapai kejayaan.

“Kerjanya yang satu lagi terbabit di Liga Perdana, dalam erti kata lain Mourinho memerhatikan pemain England setiap minggu dan ia sempurna untuknya.

“Dengan Mourinho, kejayaan akan selalu muncul, bukan kerana beliau memiliki pemain terbaik, namun kerana beliau membuat anda yakin bahawa anda yang terbaik.

“Keyakinan dan kepercayaan diberikan olehnya menakjubkan, apabila beliau berada di kelab, pemain bersama kakitangannya seolah-olah menentang seluruh dunia.

“England pasti menjadi pasukan pilihan dengan kualiti dimiliki pemain dan jurulatih seperti Mourinho.


“Jika FA England bersedia untuk ini, saya pasti Mourinho membimbing England di Brazil pada 2014,” katanya lagi. - Agensi

No comments:

Post a Comment