Wednesday, October 6, 2010

Siapa dalang disebalik kejatuhan Liverpool

Berikut adalah ringkasan tulisan daripada seorang kolumnis akhbar terkemuka di London.

Sekiranya peminat-peminat Liverpool sedang mencari seseorang untuk dijadikan kambing hitam dengan kejatuhan mendadak pasukan kesayangan mereka ini, mereka tersilap sekiranya menuduh pengurus sekarang iaitu Roy Hodgson.

Secara teknikalnya semua orang melihat Hodgson adalah orang yang bertanggungjawab keatas kejatuhan sekarang kerana Liverpool terperosok di tangga ke-17 dengan hanya mengutip 6 mata daripada 7 perlawanan.

Tetapi sekiranya dilihat pada rekod perpindahan kelab pada tahun-tahun sebelum ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa pengurus terdahulu, Rafael Benitez adalah orang yang menjadi punca permasalahan sekarang dengan membelanjakan £229M sepanjang enam tahun mengurus Liverpool.

Pada masa sekarang penyokong-penyokong yang kecewa ini mula menyuarakan pendapat agar tempat Hodgson segera ditukarkan oleh pengurus yang menjadi idola peminat-peminat Liverpool Kenny Dalglish, tetapi dalang sebenar yang menjadi punca kejatuhan mereka, Benitez berjaya meloloskan diri tanpa sebarang masalah.

Lebih menarik Benitez berjaya mendapatkan pekerjaan yang baru di Inter Milan selepas beberapa minggu disingkirkan the Kop. Dia memulakan semula karriernya diperingkat atas dengan meninggalkan pasukan Liverpool yang kurang bermaya.

Antara komen pembelian Benitez.
  1. Mendapatkan Pepe Reina, Aquilani, Dossena dan Riera dengan perbelanjaan £35M tetapi hanya 80 perlawanan sahaja yang diturunkan.
  2. Terdapat beberapa lagi pemain yang dibeli Benitez tetapi jarang diturunkan termasuklah Fabio Aurelio, Lucas, Ryan Babel dan Glen Johnson yang dibeli dengan harga £17M.
  3. Dengan keadaan masalah kecergasan Fernando Torres, Benitez telah melepaskan banyak pemain yang berkaliber ke kelab lain. 
  • Craig Bellamy hanya bermain semusim dan dijual ke West Ham sebelum ke Manchester City dan menjadi pemain terbaik Manchester City pada musim lepas.
  • Peter Crouch menjadi pemain utama Tottenham sekarang dengan menjaringkan 40 gol dalam hanya 3 musim walaupun dia selalu berada dibangku simpanan.
  • Robbie Keane yang dibeli dengan £20.3m dari Spurs semasa 2008 dan dijual semula pada harga £12m selepas lima bulan kemudian.
Tapi semua ini dilupakan kerana Benitez pernah mengemudi Liverpool menjadi Juara Piala Eropah pada 2005 dahulu.

Sebagai kesimpulannya penulis nampaknya seperti mempertahankan Roy Hodgson walaupun dia mungkin melakukan beberapa kesilapan termasuk terpaksa menanggung bebanan yang ditinggalkan Benitez dan menyatakan masih terlalu awal untuk menilai kebolehannya sekarang dan apa yang perlu peminat Liverpool mesti menunggu masanya dengan sabar.

Komen:
Masih ingat lagi semasa perpindahan-perpindahan yang dianggap pelik berlaku pada pengurusan Benitez dahulu rata-ratanya peminat Liverpool amat bersetuju dengan dengan keputusan "berani" yang dilakukannya. Ini mungkin disebabkan reputasi Benitez yang boleh dianggap sebagai antara pengurus yang cemerlang pada masa itu dengan membawa pulang Piala Liga Eropah ke England pada 2005. Reputasi Benitez juga dianggap lebih baik berbanding Sir Alex dan Arsene Wenger ketika itu. Dipenghujungnya Benitez gagal mengukir namanya dihati peminat Liverpool seperti yang dilakukan oleh Dalglish.

Lain pula bagi Roy Hodgson yang namanya tidak gah seperti Benitez ketika mula mengemudi Liverpool dahulu. Mungkin ini adalah punca ramai peminat Liverpool sekarang tidak menaruh keyakinan padanya dan mahu dia mengundur diri walaupun belum sampai pun pertengahan musim. Tetapi jangan lupa, dia jugalah yang membawa sebuah pasukan kerdil seperti Fulham ke Final Piala Eropah musim lalu dan dia juga telah dilabel sebagai calon yang bakal mengemudi skuad England pada masa hadapan. Mungkin ada masalah baginya sekarang untuk membentuk pasukan yang diingininya dan mungkin itulah puncanya dia sentiasa mengubah formasi pasukan untuk beberapa perlawanan. Dia pernah menyatakan terdapat lebihan pemain didalam pasukan yang ditinggalkan Benitez ini dan sedang berusaha untuk menyusun kembali skuad pilihannya. Tetapi agak pelik kerana beberapa barisan muka baru yang dibelinya adalah daripada bekas pemain yang pernah berkhidmat dengannya dahulu. Mungkin ini disebabkan oleh keputusan tergesa-gesanya menerima lamaran Liverpool dahulu tanpa membuat sebarang penilaian.

No comments:

Post a Comment